Ratings and Recommendations by outbrain

Sabtu, 22 Mei 2010

Indahkan Detik Bercinta



“SAYA cinta kamu.” Tiga perkataan yang ringkas tetapi sarat dengan makna yang begitu mendalam. Hanya perlu diucapkan dari mulut, ia sudah cukup membuatkan hati seseorang menjadi semakin melayang. Tetapi apabila cara luahan itu dilakukan dengan lebih kreatif, sudah tentu detik ini menjadi saat yang paling bermakna.

1. Tulis dan tampal

Tulis ucapan cinta di atas sekeping nota kecil dan tampal di tempat yang tidak diduga. Contohnya di kerusi atau dashboard kereta si dia atau di komputer riba atau di halaman surat khabar yang akan dibacanya.

2. Iklan di surat khabar

Cinta itu sememangnya mengasyikkan sehingga terbawa-bawa bersama ombak asmara. Cinta boleh menjadikan pasangan kurang siuman, bahkan cinta juga mengajar pasangan itu erti kewarasan.

Demi membuktikan kesetiaan cinta kamu terhadapnya, lakukan sesuatu yang tidak diduga dengan cara memasukkan iklan menerusi surat khabar yang sering dibaca dan deklamasikan sebuah puitis cinta kamu kepadanya.

3. Bukukan cinta

Catatkan kisah perjalanan cinta kamu berdua dalam sebuah buku. Kirimkan novel tersebut pada hari paling bahagia kamu berdua. Contohnya pada Hari Valentine, hari jadi atau ulang tahun percintaan kamu berdua.

4. Pesanan cinta

Rakamkan beberapa baris pesanan cinta kamu terhadapnya atau nyanyikan sebuah lagu kegemaran kamu berdua, lalu kirimkan kepadanya. Lebih canggih, tinggalkan pesanan cinta menerusi Khidmat Pesanan Suara atau voice mail, menerusi MP3 atau video call untuk mengungkapkan rasa cinta kamu terhadapnya.

5. Koleksi SMS

Kumpul semua SMS atau e-mel cinta yang kamu terima daripadanya dan tuliskan di dalam sebuah buku. Kemudian, kirimkan buku tersebut kepadanya. Letakkan tarikh kiriman serta masa penghantaran SMS atau e-mel yang dikirimkan itu. Cara ini membuktikan kamu menghargai setiap apa yang diucapkannya.

6. Biarlah jari berbicara

Lakukan permainan jari setiap kali bertemu dengannya. Tulis kata-kata cinta kamu di setiap hujung jari di saat dia memegang erat jari-jemarimu.

7. Menyusun puzzle

Kirimkan permainan puzzle yang bertulis I Love You menerusi Khidmat Pesanan Ringkas atau SMS. Hantarkan satu per satu perkataan agar si dia tidak sabar menanti setiap huruf yang akan kamu kirimkan kepadanya.

8. Cinta dalam 100 bahasa

Belajar menyatakan ’saya cinta kamu’ dalam 100 bahasa dan kirimkan kepadanya setiap hari.

9. Kirimkan hidangan tengah hari

Saat kamu mengirimkan hidangan kesukaannya, jangan lupa sematkan ucapan ’saya cinta kamu’ di atas kotak polisterina. Menghantar mesej cinta pada sebiji buah-buahan juga memberi makna tersurat kepadanya.

Jumaat, 21 Mei 2010

Memahami Stress Dalam Hubungan Percintaan

Stress berlaku dalam semua aspek kehidupan. Adakalanya stress membawa kesan yang positif dan individu yang mengalami stress positif akan merasa lebih bersemangat untuk menghadapi kehidupan. Tidak kurangnya juga stress yang membawa kesan negatif dan individu yang mengalami stress negatif akan merasa sangat tertekan dan hilang kemampuan untuk berfungsi secara optima.

Percintaan juga boleh mengakibatkan stress yang tidak kurang hebatnya. Stress negatif dalam percintaan akan memalapkan api kemesraan dan mungkin memusnahkan perhubungan cinta tersebut sekiranya tidak ditangani dengan segera dan berkesan. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang stress di kalangan pasangan yang bercinta dan membantu mereka melengkapi diri dengan cara-cara menangani stress semasa bercinta. Ia juga akan membincangkan perkara-perkara yang perlu dielakkan semasa bercinta agar stress dapat dikurangkan atau dielakkan sama sekali. Akhir sekali, kertas kerja ini akan membincangkan beberapa teknik pengurusan stress yang praktikal dan berkesan untuk membantu individu yang sedang atau merancang untuk membina hubungan yang mesra dan berkekalan.


PENDAHULUAN

Kita sering mengaitkan percintaan dengan sesuatu yang indah. Pengalaman bercinta dikatakan sebagai mengasyikkan, penuh bermakna dan tidak boleh dilupakan. Memang ada kebenaran di sebalik pandangan ini namun secara realitinya tidak semua kisah cinta menjanjikan seribu satu kenangan indah. Banyak juga yang menghadapi cabaran, kekecewaan dan kegagalan dalam percintaan dan ini menyebabkan individu yang terlibat mengalami stress. Banyak kajian mengaitkan stress dalam kehidupan sebagai punca kepada kegagalan sesuatu perhubungan tetapi agak kurang kajian yang menyatakan bahawa perhubungan itu sendiri boleh menyebabkan kejadian stress di kalangan pasangan yang bercinta. Benarkah cinta yang dianggap indah dan suci boleh menyebabkan stress kepada individu? Malah akibat daripada stress percintaan ini ada individu yang mengambil jalan mudah seperti ingin membunuh diri atau pun tidak kurang yang mengalami gangguan mental kerana kegagalan untuk menangani stress tersebut.

DEFINISI STRES

Stress boleh dilihat sebagai desakan atau tekanan yang dihadapi oleh individu berikutan peristiwa yang berlaku padanya (Selye, 1976). Tekanan ini memerlukan seseorang untuk menyeimbangkan tuntutan perubahan dengan keupayaan yang ada pada dirinya.Kegagalan untuk mencapai keseimbangan inilah yang akan menyebabkan stress.

Stress boleh dilihat secara positif atau dikenali dengan nama eustress. Dalam percintaan stress positif lazimnya akan merangsang perasaan kasih sayang yang lebih mendalam dan membina ikatan perhubungan yang lebih kukuh. Ini kerana eustress boleh dianggap sebagai cabaran dan dugaan yang menguji kekuatan kasih antara dua insan.

Namun demikian stress negatif atau distress juga sering wujud menyebabkan pasangan mula berkonflik dan secara tidak langsung menghakis tenaga dan perasaan cinta yang ada antara satu sama lain. Distress ini boleh memisahkan pasangan sekiranya langkah-langkah yang sepatutnya tidak diambil untuk memperbaiki hubungan tersebut.


KLASIFIKASI STRESS

Stress boleh dikelaskan kepada 4 jenis yang utama (Charles, 2000)
a) Stress yang dijangkakan (anticipatory stress)
Stress ini adalah yang paling mudah untuk diuruskan kerana telah dijangkakan akan berlaku. Pasangan-pasangan bercinta lazimnya dapat mengagak serba sedikit rintangan dan dugaan yang bakal dialami. Ini menjadi mudah sekiranya kedua belah pihak berterus terang antara satu sama lain dan mengelakkan berbohong tentang diri masing-masing. Dengan itu perjalanan perhubungan akan lebih teratur dan terancang.

b) Stress situasi (situational stress)
Ianya stress yang berlaku dengan tiba-tiba akibat kejadian tertentu yang tidak dijangkakan dan memerlukan seseorang untuk menghadapinya dengan segera. Contoh stress ini dalam percintaan ialah kehadiran pihak ketiga yang menyebabkan cemburu, curiga dan lain-lain. Sekiranya tidak dihadapi dengan baik akan membawa kepada jenis stres yang seterusnya.

c) Stress yang kronik (chronic stress)
Stress ini merupakan stress yang berlarutan untuk masa yang panjang. Ia diakibatkan oleh pengalaman buruk atau yang sukar untuk diterima. Contohnya, sekiranya perasaan cemburu yang timbul akibat kehadiran orang ketiga tadi diikuti dengan konflik antara pasangan, pergaduhan, kesukaran untuk komunikasi dan kerenggangan perhubungan maka ia telah menjadi kronik dan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.


d) Stres berbaki (residual stress)
Stress ini berlaku akibat peristiwa lampau yang sukar untuk dilupakan. Ianya mewakili ketidak upayaan dan ketidak sediaan seseorang untuk melupakan kenangan silam . Contoh stress sebegini ialah pengalaman ditinggalkan kekasih, dimadukan (sekiranya telah berkahwin) atau mungkin pengalaman didera oleh pasangan yang amat dicintai. Ada kalanya, walaupun ianya tidak lagi berlaku, individu masih merasakan keperitan akibat daripada peristiwa tersebut dan tidak dapat melupakannya. Antara masalah yang timbul mungkin Post Traumatic Stress Disorder, Insomnia dan simptom-simptom stress yang agak serius.

Oleh sebab itu, individu yang bercinta sekalipun perlu memahami tentang stress dan cara-cara untuk menanganinya agar kejadian stress ini, walau tidak dapat dielakkan, dapat ditangani dengan baik. Ini akan menghalang masalah-masalah lain dalam perhubungan dan juga mengelak daripada mendapat kesan fisiologi dan psikologi yang serius akibat stress. Stress yang teruk dalam hubungan percintaan akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dan psikologi secara sedar atau tidak sedar sama seperti stress yang berlainan aspek.


CONTOH KES KAUNSELING STRESS PERCINTAAN

Kes 1 :
Aziah (bukan nama sebenar) datang berjumpa kaunselor kerana rasa tertekan dengan situasi yang dialami. Aziah sedang dalam hubungan percintaan dan telah pun menjalinkan ikatan pertunangan dengan kekasihnya. Dia mengalami stress kerana berkonflik dengan teman serumahnya kerana dia menganggap teman serumahnya cuba untuk merampas tunangnya. Menurut Aziah, teman serumahnya pernah menelefon bakal ibu mertuanya dan menceritakan tentang keburukan dirinya dengan tujuan untuk memisahkan Aziah dengan tunangnya. Aziah sangat mencintai tunangnya dan tidak dapat menerima hakikat bahawa teman serumahnya berniat buruk terhadap mereka. Namun Aziah tidak pernah mendapat kepastian atau bukti bahawa teman serumahnya benar-benar telah melakukan perkara sedemikian. Semua ini berdasarkan tekaan sahaja. Namun Aziah sangat tertekan dan mengatakan bahawa dia akan membunuh diri sekiranya teman serumahnya benar-benar telah berbuat demikian.


Kes 2 :

Puan Laila(bukan nama sebenar), berusia 43 tahun telah mendirikan rumah tangga selama 20 tahun dengan lelaki yang amat dicintainya. Mereka dikurniakan 3 orang anak dan semuanya telah dewasa sekarang. Masalah Puan Laila ialah suaminya adalah seorang kaki botol, penjudi, sering mengugut meminta duit darinya serta menderanya sekiranya tidak mendapat apa yang diinginkan. Perkara ini telah berlaku semenjak awal perkahwinan mereka dan masih lagi berlaku. Menurut Puan Laila, pada awalnya dia tidak mengambil kisah kerana perasaan cinta yang amat mendalam dan dia menyimpan harapan agar dia dapat mengubah perangai buruk suaminya. Setelah kehadiran anak-anak, walaupun menghadapi tekanan yang sangat mendalam, dia masih mempertahankan rumahtangganya demi untuk anak-anak. Selama dua puluh tahun mengalami stress tersebut Puan Laila seolah-olah telah lali dengan tekanan itu dan tidak memikirkannya sehinggalah anak-anaknya mendapat kesan daripada masalah ini. Puan Laila datang berjumpa kaunselor dan dia seolah-olah baru bangun dari mimpi yang panjang dan menyedari bahawa dia perlu melakukan sesuatu demi masa depannya

Dua kes ini memberikan contoh yang jelas bagaimana perasaan cinta boleh mengakibatkan seseorang itu hilang pertimbangan diri dan mungkin memudaratkan diri sendiri dan orang lain sekiranya stres tersebut tidak ditangani dengan segera dan efektif. Oleh itu, untuk menangani stress dengan efektif seseorang individu perlu tahu dan memahami punca-punca atau stressor yang terlibat agar langkah-langkah pengurusan stress akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan masalah diselesaikan dengan segera untuk menjamin keharmonian perhubungan cinta antara dua insan ataupun kebajikan individu yang terlibat.


PUNCA-PUNCA STRESS ATAU STRESSOR DALAM PERHUBUNGAN CINTA

Untuk mempastikan individu yang bercinta dapat menangani stress dengan baik, mereka seharusnya tahu tentang punca-punca atau stressor yang terlibat. Tanpa mengetahui punca-punca atau stressor kaedah menangani stress tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan stress sama ada ianya telah dijangkakan atau tidak dijangkakan oleh pasangan yang terlibat. Lebih elok sekiranya kedua-dua pasangan tersebut peka terhadap punca-punca ini agar dapat saling membantu menangani stress yang berlaku. Ini akan membantu membentuk keharmonian dan mengeratkan lagi kasih sayang antara pasangan. Berikut adalah antara punca-punca stress atau stressor yang biasa berlaku dalam percintaan.

1. Perubahan yang berlaku dengan mendadak.
Apabila seseorang itu jatuh cinta pelbagai perubahan akan berlaku kepada dirinya. Perubahan yang paling ketara ialah dari segi emosi. Hemstetter (1991) menyatakan bahawa manusia tidak secara logik atau sengaja jatuh cinta sebagai sebahagian daripada perancangan strategik yang dirancang dari awal. Apabila seseorang jatuh cinta, emosinya akan mengambil alih dan memandunya dan biasanya minda emosi dan bukan minda logikal yang mengawal dirinya. Semakin erat hubungan itu, semakin kuat emosinya. Oleh itu, sekiranya perasaan menjadi tidak terkawal, individu akan mudah menjadi stress kerana individu tersebut menjadi lebih emosional.

2. Perbezaan
Ketidakupayaan untuk menerima perbezaan sama ada dari segi personaliti, tingkahlaku, cara kehidupan, nilai dan lain-lain juga boleh menyebabkan tahap stress yang signifikan. Lazimnya seseorang yang lebih cepat menyesuaikan diri dan menerima hakikat perbezaan akan dapat menangani stress dengan lebih cepat berbanding dengan seseorang yang kurang fleksibel dan sukar menerima perbezaan. Tahap penyesuaian biasanya bergantung kepada betapa besar jurang yang timbul akibat perbezaan. Lebih besar perbezaannya, maka lebih sukarlah untuk menyesuaikan diri.

3. Kepercayaan tidak rasional atau tidak realistik
Kepercayaan yang tidak rasional dan realistik dalam perhubungan juga boleh menyebabkan stress. Berikut adalah contoh pemikiran tidak rasional dan tidak realistik:

· ‘pasangan saya mesti membahagiakan saya sentiasa’
· ‘suami saya mesti memberi apa yang saya inginkan sekiranya dia benar-benar mencintai saya’.
· ‘Saya tidak boleh gagal dalam hubungan kali ini’

Kehadiran pemikiran-pemikiran sebegini sebenarnya hanya akan membebankan pasangan. Individu yang berfikiran demikian pula akan menjadi sangat tertekan sekiranya kehendaknya atau apa yang difikirkan itu berbeza atau tidak kongruen dengan apa yang dialami. Terlalu banyak pemikiran tidak rasional dan tidak realistik dalam perhubungan hanya akan menimbulkan konflik sekiranya pasangan tersebut tidak sehaluan dan tidak memiliki cara pemikiran yang sama.

4. Tahap komitmen yang berbeza
Menurut Corey & Corey (1997), cinta atau kasih sayang bermakna anda memberi komitmen kepada pasangan. Namun demikian komitmen ini tidak bermakna anda menyerahkan seluruh kehidupan anda kepadanya dan bukan juga bermaksud hubungan ini akan tentu kekal selamanya. Komitmen menunjukkan kesediaan untuk bersama dalam kesakitan, ketidakpastian, kesusahan dan keperitan serta di waktu tenang dan gembira. Stress boleh disebabkan tahap komitmen yang berbeza antara pasangan ataupun tidak wujud langsung komitment pada salah seorang atau kedua-dua belah pihak. Lazimnya pihak yang lebih komited akan merasa stress kerana merasakan hanya dirinya sahaja yang mengambil berat tentang hubungan tersebut.

5. Kehadiran konflik dalam perhubungan
Tiada perhubungan yang tidak pernah mengalami konflik. Konflik adalah perkara biasa dalam kehidupan, malah boleh dianggap sebagai asam garam kehidupan. Namun demikian konflik yang dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan stress yang kronik dan menghakis sesuatu perhubungan secara sedar atau tidak sedar. Konflik boleh berbentuk perkara yang remeh temeh seperti perbezaan pendapat hinggalah yang lebih serius seperti pergaduhan besar. Konflik boleh berpunca dari perbezaan keperluan, keinginan, kesukaan, minat, pendapat, kepercayaan atau nilai.


6. Halangan komunikasi
Desakan kehidupan adakalanya menghalang pasangan untuk berkomunikasi dengan berkesan. Kesibukkan, kepenatan dan sikap tidak endah dan tidak menyedari keperluan komunikasi berkesan boleh menyebabkan hubungan menjadi hambar lalu runtuh. Stressor sebegini boleh mengakibatkan tekanan perasaan kerana luahan hati tidak didengari dan boleh menyebabkan kes-kes perceraian sekiranya pasangan telah berkahwin. Komunikasi yang kurang berkesan juga boleh menimbulkan salah faham dan curiga diantara pasangan.

7. Kurang kepercayaan dalam perhubungan
Kepercayaan adalah teras sesuatu perhubungan terutama dalam perkahwinan. Hubungan yang kukuh dan bahagia hanya akan dinikmati sekiranya pasangan saling mempercayai dan menghormati ‘privacy’ pasangan masing masing.Tiadanya kepercayaan dalam sesuatu perhubungan akan menyebabkan seseorang itu cuba mengawal dan memerhatikan setiap gerak geri pasangannya. Ini menimbulkan stress kerana tugas yang bertambah dan kehadiran perasaan syak wasangka yang adakalanya sukar dikawal. Di samping itu pasangan akan rasa tidak selesa dan terkongkong dalam aktiviti hariannya.Akibatnya, kedua-duanya akan mengalami stress.

8. Pengurusan Masa
Percaya atau tidak masalah pengurusan masa juga merupakan punca stress yang agak signifikan dalam perhubungan. Apabila menjalinkan hubungan dengan seseorang hidup individu bukan lagi berkisar pada diri sendiri tetapi ada pihak kedua yang mengharapkan perhatian dan masa. Biasanya masalah ini lebih ketara di peringkat awal perhubungan di mana pengurusan masa perlu dirombak sama sekali untuk memberi ruang kepada pasangan baru. Namun perkara seperti ini turut berlaku di peringkat telah berkahwin terutama sekiranya masa perlu dibahagikan antara rumahtangga, anak-anak dan kerjaya. Pengurusan masa yang tidak cekap dan tidak fleksibel meningkatkan kemungkinan stress.

9. Kehadiran ancaman terhadap perhubungan
Apabila berada dalam perhubungan yang intim, kehadiran sebarang ancaman terhadap kesejahteraan hubungan boleh mengakibatkan stressor. Ancaman ini mungkin berbentuk kehadiran orang ketiga, pergaduhan yang berpanjangan,krisis atau perubahan besar dalam kehidupan, jarak yang memisahkan dan lain-lain. Akibat daripada kehadiran ancaman ini individu akan mengalami pelbagai perasaan seperti salah sangka, cemburu, ingin tahu, curiga, risau dan lain-lain. Perasaan yang dirasakan seperti bimbang dan curiga ini hanya akan menghakis tenaga seseorang sekiranya tidak diredakan dengan segera. Menurut Orman (2002) salah satu sebab individu merasa bimbang ialah kurangnya rasa percaya sama ada terhadap kemampuan diri sendiri atau orang lain.Sekiranya pasangan mempercayai satu sama lain, walau apapun berlaku, mereka akan tetap teguh bersama .


10. Campurtangan orang luar
Campur tangan orang luar dalam perhubungan boleh bersifat posif atau negatif. Campurtangan positif amat digalakkan untuk membantu pasangan mengetahui tentang realiti kehidupan dan tidak hanyut tanpa panduan. Pasangan yang baru bercinta mungkin mengalami lebih banyak campurtangan luar seperti dari kaum keluarga, kawan-kawan dan lain-lain yang pada niatnya adalah untuk membantu. Namun campurtangan yang tidak sihat boleh mengakibatkan konflik dan stress kepada pasangan dan mendatangkan kesan tidak baik kepada perhubungan. Pasangan yang mudah terpengaruh dengan hasutan pihak luar mungkin mengalami masalah mempertahankan perhubungan.


PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN SEMASA BERCINTA AGAR TIDAK BERLAKU STRESS

Stress boleh dielakkan sama sekali sekiranya individu mengetahui apa yang menyebabkannya. Adalah lebih baik mengelakkan stress daripada cuba mengatasi stress setelah ianya berlaku. Berikut merupakan beberapa garis panduan untuk mengelakkan stress dalam hubungan percintaan dengan lebih berkesan.

1. Jangan mengharapkan pasangan anda untuk memenuhi segala impian dan kehendak anda.
Pasangan anda tidak bertanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan anda. Oleh itu ada kemungkinan harapan, impian dan kehendak anda tidak dapat dipenuhinya kerana dia juga mempunyai harapan, impian dan kehendak diri sendiri yang perlu dipenuhi. Pasangan yang bahagia bersedia untuk berkongsi apa yang ada dan tidak memaksa satu sama lain untuk menjadi alat mencapai impian.

2. Jangan letakkan kebahagiaan anda di tangan pasangan anda semata-mata.
Kebahagian tidak terletak ditangan sesiapa melainkan diri sendiri. Menurut Abraham Lincoln, kebahagian terletak kepada cara seseorang itu berfikir. Sekiranya individu berfikiran positif dan gembira, begitu jugalah kehidupannya. Kesilapan meletakkan keseluruh kebahagian kepada pasangan menambah kelemahan individu kerana sekiranya sesuatu berlaku kepada pasangan atau perhubungan dia akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya.

3. Elakkan cuba mengubah kekasih anda.
Setiap individu adalah hasil dari pembentukan personaliti yang memakan masa bertahun-tahun. Adalah mustahil bagi kita untuk mengubah pasangan mengikut citarasa sendiri. Tingkatkan empati dan cuba memahami pasangan dari perspektif dirinya pula. Apakah perasaan anda sekiranya pasangan anda cuba untuk menukar diri anda yang sebenar? Sebagai alternatif, anda boleh mencuba untuk berdiplomasi dengan pasangan dan meminta dia lebih peka tentang aspek-aspek yang anda senangi atau kurang senangi tentang dirinya tanpa menimbulkan konflik. Pengukuhan positif juga boleh dilakukan bagi membantu pasangan menonjolkan sikap yang lebih anda senangi.
4. Jangan terlalu serius dalam perhubungan.
Kita mesti memandang serius sesuatu perhubungan tetapi jangan terlalu serius dalam perlaksanaanya. Cinta adalah untuk dinikmati bukan untuk menyiksa seseorang individu. Sikap yang terlalu serius, tidak fleksibel dan terlalu terkawal boleh menimbulkan ketegangan dan stress kepada pasangan. Relaks dan cuba menikmati setiap detik yang berlalu dengan lebih bermakna.

5. Jangan memendam perasaan sekiranya berlaku konflik atau pertengkaran.
Ada pasangan yang mengelak daripada membincangkan isu-isu yang menimbulkan konflik malah ada yang tidak mengakui kewujudan konflik dalam hubungan mereka. Kegagalan ini hanya akan merumitkan keadaan kerana akan ada pihak yang tidak puas hati. Dalam ertikata lain ianya hanya akan menjadi ‘kudis yang bernanah’ sekiranya tidak diubati.

6. Sekiranya berlaku konflik, jangan ‘serang’ pasangan anda secara peribadi.
Sekiranya ada sesuatu konflik, cuba bincangkan secara rasional dan elakkan menyalahkan satu sama lain. Antara kesilapan yang biasa dilakukan ialah, pasangan mula mengungkit keburukan satu sama lain dan terlupa tentang nilai perhubungan yang sebenar. Masing-masing akan cuba mempertahankan diri sendiri walaupun adakalanya, punca pergaduhan adalah pihak ketiga. Adakah berbaloi memenangi perbalahan tersebut sekiranya ia hanya akan meningkatkan tahap stress anda?

7. Elakkan terlalu mengawal pasangan anda.
Sikap yang terlalu mengawal akan menimbulkan kebosanan kepada pasangan kerana merasakan diri tidak dipercayai. Kepercayaan antara satu sama lain harus menjadi asas dalam perhubungan percintaan. Sekiranya tidak, konflik mungkin akan timbul dan pasangan akan cuba mencari jalan keluar untuk bebas dari rasa terkongkong.


PENGURUSAN STRES BERKESAN

Langkah utama dalam pengurusan stress yang berkesan ialah menyedari bahawa anda sedang mengalaminya. Ramai juga bertindak tidak memperdulikan stress yang berlaku dan berlagak seolah-olah segalanya sempurna dan tidak mengalami masalah. Mengenalpasti stressor dengan tepat akan memudahkan lagi langkah-langkah menangani stress dan berikut disenaraikan beberapa cadangan yang praktikal tentang cara-cara pengurusan stress yang berkesan.

1. Kenali pasangan anda.
Sebelum sebarang keputusan diambil untuk meneruskan perhubungan seeloknya anda perlu mengenali dan menilai pasangan anda. Disinilah letaknya kepentingan berterus terang antara pasangan. Sekiranya pasangan bersikap jujur maka anda akan lebih mudah menjangkakan perjalanan perhubungan anda. Ini menentukan sama ada tahap stress dapat dijangkakan dengan baik.
Menurut Tresl (2000) kita perlu menilai pasangan dengan mata terbuka dan cuba melihat kepada tiga aspek utama untuk menentukan sama ada perhubungan layak dipertahankan atau tidak. Tresl (2000) menekan aspek tiga C iaitu chemistry atau daaya tarikan yang wujud, compatibility atau keserasian dari pelbagai aspek dan common values atau perkongsian nilai-nilai yang sama. Sekiranya tiga aspek ini tidak wujud atau kurang, maka adalah lebih baik hubungan tidak diteruskan untuk mengelakkan stress.

2. Belajar untuk menerima pasangan anda.
Sekiranya terdapat perbezaan antara anda dan pasangan anggaplah ia sebagai satu keistimewaan. Hargai perbezaan yang wujud dan gunakan sumber yang ada untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang pasangan anda. Sternberg (1988) menegaskan kepentingan untuk mencintai pasangan anda yang ‘sebenar’ dan bukannya pasangan yang anda inginkan menjadi seorang yang ideal. Ini kerana kehidupan adalah satu realiti dan tidak mungkin kita mendapat pasangan yang ideal, tanpa sebarang cacat cela. Corey & Corey (1997) menyatakan bahawa cinta bermaksud seseorang itu menghormati harga diri pasangannya. Sekiranya seseorang mencintai pasangannya, dia mesti mampu melihat pasangan sebagai individu yang berasingan, yang mempunyai nilai, fikiran dan perasaan tersendiri.

3. Lihat perhubungan secara realistik
Agar sukar untuk menukar cara kita berfikir, namun demikian pasangan yang ingin mengelakkan stress dari berlarutan harus melihat perhubungan dari segi yang lebih realistik. Contohnya, tidak semua perhubungan akan berjalan lancar, tanpa dugaan dan tidak semua pasangan mempunyai objektif yang sama sepanjang kehidupan bersama. Dalam perhubungan yang sebenar, pasangan tetap akan mengalami ketidaksempurnaan, pergaduhan dan perasaan tidak puas hati. Tetapi yang lebih penting ialah cara pasangan itu mengatasi masalah dengan baik. Berfikir dengan lebih rasional dan bukannya emosional akan dapat mengelakkan pasangan merasa terlalu stress dan ini membantu hubungan untuk menjadi lebih harmoni.

4. Penyelesaian konflik secara sihat.
Tugas ini menjadi lebih mudah sekiranya pasangan saling mempercayai satu sama lain. Menurut Nadig (2000), dalam artikelnya ‘Relationship conflict: Healthy or UnHealthy’, kedua-dua pasangan mesti melihat konflik sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan bersama, bukannya oleh salah seorang sahaja. Pasangan mesti menglibatkan diri secara aktif dan berusaha serta memiliki komitmen untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian yang adil dan boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak. Antara tahap-tahap penyelesaian konflik yang berkesan ialah mengenalpasti masalah, memikirkan beberapa penyelesaian yang mungkin dan setiap jalan penyelesaian haruslah dinilai oleh pasangan. Selepas itu pasangan haruslah memilih jalan penyelesaian terbaik, melaksanakan perancangan tersebut, dan akhirnya adakan susulan sekiranya jalan penyelesaian yang dipilih kurang sesuai.

5. Mengamalkan komunikasi berkesan
‘ Talking is sharing but listening is caring’ – anonymous

Komunikasi memainkan peranan yang amat penting dalam perhubungan. Pasangan anda tidak semestinya dapat meneka apa yang anda rasakan. Tanpa komunikasi, perhubungan hilang kemesraan dan menjadi kepompong tanpa makna. Cara komunikasi berkesan dapat diterangkan dengan ringkas melalui konsep LOVE. L atau listening iaitu mendengar merupakan aspek utama dalam memastikan komunikasi berkesan. Pasangan yang kurang mendengar luahan hati pasangannya akan menghadapi kegagalan komunikasi. Ini diikuti dengan O atau observation iaitu melihat bahasa bukan lisan yang ditunjukkan oleh pasangan. V atau verbal response iaitu respon lisan tentunya memainkan peranan penting agar kemesraan tetap subur. Dan untuk memastikan keintiman dan sikap saling memahami E atau Empati juga diperlukan supaya setiap individu merasakan apa yang dirasa oleh pasangannya. Dengan mengamalkan komunikasi berkesan hubungan dapat dieratkan dan dikekalkan dengan lebih efektif.

6. Tanamkan kepercayaan terhadap pasangan
Menurut Orman (1994), memandangkan janji janji yang diberikan adalah landasan kepada penyatuan dua insan yang berkahwin, setiap individu perlu memberi kepercayaan kepada pasangannya untuk memenuhi janji itu dengan penuh kesetiaan. Namun demikian, setiap pasangan mesti menghormati kepercayaan yang diberikan dan ianya bukan lesen untuk mengkhianati pasangan masing-masing. Salah satu cara untuk memupuk kepercayaan ialah dengan selalu berkomunikasi tentang aktiviti masing masing dengan jujur dan mengelakkan berbohong kepada pasangan anda.

7. Pengurusan masa yang efektif.
Teknik pegurusan masa yang boleh digunakan adalah sama seperti dalam situasi lain tetapi mungkin memerlukan sedikit kelenturan bagi memberi ruang bagi aktiviti bersama yang tidak dirancang. Antara langkah-langkah pengurusan masa efektif ialah mengamalkan kelenturan, mengetahui batasan dan kemampuan diri, tentukan keutamaan sesuatu tugas, amalkan pembahagian tanggungjawab, mengamalkan sikap asertif, simpan jadual masa peribadi dan rehat secara teratur. Sekiranya masa anda dapat diuruskan secara efektif tanpa membelakangkan kepentingan pasangan anda, kemungkinan besar stress akan dapat dikurangkan.

8. Bersikap asertif dan jangan mudah terpengaruh
Salah satu sumber stress yang utama ialah tidak mampu untuk memberitahu orang lain apa yang difikir dan dirasakan dan ini berkait dengan sikap asertif. Stres yang berlaku akibat campurtangan orang lain dalam kehidupan memerlukan anda menjadi lebih assertif dalam membuat keputusan dan menyatakan apa yang anda rasakan betul. Menurut Youngs (1986), sikap asertif ialah ‘memiliki’ apa yang diingini, termasuk perasaan anda dan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas orang lain. Sikap asertif juga ialah menyatakan sesuatu dengan cara yang diterima orang lain tanpa rasa mereka dipersalahkan dan memberi peluang kepada mereka untuk memberi maklumbalas. Ini bermaksud dengan bersikap asertif anda akan mendapat apa yang anda inginkan dan pada masa yang sama tidak melukakan hati mana-mana pihak. Keputusan yang dibuat tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luaran.

9. Amalkan teknik relaksasi secara bersama
Terdapat banyak teknik-teknik relaksasi yang boleh diamalkan untuk mengurangkan stress. Sekiranya anda berpeluang untuk melakukannya bersama pasangan ia mungkin menjadi lebih menarik. Pasangan bercinta terutamanya yang telah berkahwin boleh mengamalkan teknik relaksasi secara bersama seperti senaman, urutan dan lain-lain untuk menenangkan fikiran di samping meningkatkan kemesraan satu sama lain. Relaksasi juga boleh dilakukan dengan melancung ke tempat-tempat menarik, menghadiri persembahan teater atau musik yang digemari oleh kedua-dua belah pihak dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti sebegini memastikan bahawa kedua-dua belah pihak berada dalam tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik di samping membuka peluang komunikasi dengan lebih luas.

10. Lihat perkara dari perspektif yang berbeza. Amalkan humor.
Adakalanya masalah yang serius sebenarnya tidaklah seteruk yang dijangkakan sekiranya dilihat dari perspektif yang berbeza. Melihat kehidupan secara humor boleh membantu menangani stressor kerana tubuh kita akan berada dalam mod berjaga-jaga. Ini akan menyeimbangkan fikiran dan membolehkan kita berfikir dengan lebih rasional. Emosi yang gembira secara langsung memberi kesan positif terhadap sistem imun badan yang merendahkan mengeluaran hormon stress. Ia juga meningkatkan penghasilan hormon endorfin yang merupakan ‘penawar stress’ yang berkesan. Selain itu ketawa menghasilkan kesan relaks dan melancarkan perjalanan darah. Suasana yang riang dalam perhubungan memang dengan jelas dapat meningkatkan kemesraan dan menjamin kesihatan fizikal yang lebih baik

11. Luangkan masa yang berkualiti bersama.
Menurut Crane (dalam Ziglar,1997), cinta disuburkan dengan layanan dan ekspresi cinta. Cinta akan ‘berkarat’ sekiranya tidak digilap dengan minat, penglibatan dan ekspresi cinta yang berterusan. Oleh itu pasangan yang bercinta terutamanya yang berada di alam perkahwinan perlu meluangkan seberapa banyak masa yang berkualiti bersama agar perasaan cinta tidak menjadi malap. Menurut Crane lagi sekiranya kita sering membajai cinta secara bersungguh dan berterusan, aspek aspek positif dalam perkahwinan akan bertambah dan aspek negatif akan menjadi lemah. Ini secara tidak langsung akan menghindari kejadian stress akibat kurangnya komunikasi atau kepercayaan terhadap pasangan kerana kebanyakkan aktiviti dilakukan bersama.

Pengurusan stress yang sistematik akan dapat membantu individu dan pasangan membentuk perhubungan yang lebih selesa, mesra dan diharapkan berkekalan. Oleh itu, teknik-teknik yang betul perlu diketahui agar pelaksanaanya lebih berkesan.

RUMUSAN

Kebanyakan pasangan yang bercinta lazimnya akan mengharapkan hubungan yang berkekalan. Namun alam percintaan, walau seindah mana pun tetap akan diwarnai dengan pelbagai cabaran dan dugaan dan stress adalah sebahagian daripadanya. Stress akan berlaku kepada setiap orang yang bercinta disebabkan keunikan individu, perbezaan pendapat, cara hidup dan perpektif yang berlainan tentang hidup.

Stress yang berlarutan dan tidak ditangani dengan baik akan menimbulkan simptom-simpton stress yang lazim. Sekiranya dibiarkan melarat akan memudaratkan kesihatan fizikal dan mental. Ada individu yang terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling atau yang lebih serius perlu mendapatkan perkhidmatan psikiatri untuk membantu mereka menangani stress.

Oleh itu kefahaman tentang stressor dan cara-cara menanganinya haruslah diketahui oleh setiap individu sama ada mereka sedang berada di alam percintaan atau tidak. Malah stress dalam hubungan percintaan juga dapat dielakkan sekiranya pasangan tahu perkara-perkara perlu diambil berat dalam sesuatu perhubungan. Oleh kerana stress adalah perkara biasa dalam kehidupan, maka setiap individu perlu lebih peka tentang semua aspek berkaitan stress agar hidup berpasangan lebih bermakna dan berkekalan. Hubungan percintaan harus dibajai dengan sikap-sikap positif dan langkah-langkah menangani stress yang berkesan agar cinta tetap subur selama-lamanya.

Khamis, 20 Mei 2010

RAHSIA BULAN KELAHIRAN...


Berikut disenaraikan kajian mengenai bulan dan sikap anda, yang telah dijalankan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.

JANUARI

  • Bercita-cita tinggi dan orangnya serius, suka mendidik dan dididik.
  • Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik.
  • Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan.
  • Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur.
  • Bersifat sensitif dan berfikiran mendalam.
  • Pandai mengambil hati orang lain.
  • Pendiam kecuali telah dirangsang.
  • Agak pemalu dan mempunyai daya tumpuan yang sangat tinggi.
  • Mudah mendisiplinkan diri sendiri.
  • Badannya sihat tetapi mudah diserang selsema.
  • Bersikap romantik tetapi tidak pandai memperlihatkannya.
  • Cukup sayang pada kanak-kanak.
  • Suka duduk di rumah.
  • Setia pada segala-galanya.
  • Perlu belajar kemahiran bersosial.
  • Sifat cemburu yang sangat tinggi

FEBRUARI

  • Berfikiran abstrak.
  • Sukakan benda yang realiti dan abstrak.
  • Bijak dan pintar
  • Berpewatakan yang mudah berubah.
  • Mudah menawan orang lain.
  • Agak pendiam.
  • Pemalu dan rendah diri.
  • Jujur dan setia pada segalanya.
  • Keras hati untuk mencapai matlamat.
  • Tidak suka dikongkong.
  • Mudah memberontak apabila dikongkong.
  • Suka kegiatan yang lasak.
  • Emosinya mudah terluka dan sangat sensitif.
  • Mudah mempamerkan marahnya.
  • Tidak suka benda yang remeh-temeh.
  • Suka berkawan tapi kurang mempamerkannya.
  • Sangat berani dan suka memberontak.
  • Bercita-cita tinggi, suka berangan-angan dan ada harapan untuk merealisasikan impiannya.
  • Pemerhatian yang tajam.
  • Suka hiburan dan sukan.
  • Suka benda yang bersifat seni.
  • Sangat romantik pada dalaman tetapi tidak pada luaran.
  • Berkecenderungan pada benda yang tahyul.
  • Amat mudah dan boleh menjadi terlalu boros.
  • Belajar untuk mempamerkan emosi

MAC

  • Berpesonaliti menarik dan menawan.
  • Mudah didampingi.
  • Sangat pemalu dan pemendam rasa.
  • Sangat baik secara semulajadi, jujur pemurah dan mudah simpati.
  • Sangat sensitif pada perkataan yang dituturkan dan alam persekitaran.
  • Suka pada kedamaian.
  • Sangat peka pada orang lain.
  • Sesuai dengan kerjaya yang memberi khidmat kepada orang lain.
  • Tidak cepat marah dan sangat amanah.
  • Tahu membalas dan mengenang budi.
  • Pemerhatian dan penilaian yang sangat tajam.
  • Kecenderungan untuk berdendam jika tidak dikawal.
  • Suka berangan-angan.
  • Suka melancong.
  • Sangat manja dan suka diberi perhatian yang sangat tinggi.
  • Kelam kabut dalam memilih pasangan.
  • Suka dengan hiasan rumahtangga.
  • Punya bakat seni dalalm bidang muzik.
  • Kecenderungan pada benda yang istimewa dan baik.
  • Jangan terlalu mengikut selera atau perasaan

APRIL

  • Sangat aktif dan dinamik.
  • Cepat bertindak membuat keputusan tetapi cepat menyesal.
  • Sangat menarik dan pandai menjaga diri.
  • Punya daya mental yang sangat kuat.
  • Suka diberi perhatian.
  • Sangat diplomatik (pandai memujuk ).
  • Berkawan dan pandai menyelesaikan masalah orang.
  • Sangat berani dan tiada perasaan takut.
  • Suka perkara yang mencabar, pengasih, penyayang, sopan santun dan pemurah.
  • Emosi cepat terusik.
  • Cuba kawal perasaan.
  • Kecenderungan bersifat pendendam.
  • Agresif dan kelam kabut dalam membuat keputusan.
  • Kuat daya ingatan.
  • Gerak hati yang sangat kuat.
  • Pandai mendorong diri sendiri dan memotivasikan orang lain.
  • Berpenyakit disekitar kepala dan dada.
  • Sangat cemburu dan terlalu cemburu

MEI

  • Keras hati & tegas.
  • Kuat semangat & bermotivasi tinggi.
  • Pemikiran yang tajam.
  • Mudah marah apabila tidak dikawal.
  • Pandai menarik hati & perhatian orang lain.
  • Perasaan yang amat mendalam.
  • Cantik dari segi mental & fizikal.
  • Tidak perlu dimotivasikan.
  • Tetap pendirian, tetapi mudah dipengaruhi oleh orang lain.
  • Mudah dipujuk.
  • Bersikap sistematik (otak kiri).
  • Suka berangan.
  • Kuat daya firasat memahami apa yang terlintas di hati orang lain tanpa diberitahu.
  • Bahagian telinga & leher mudah diserang penyakit.
  • Daya khayalan yang tinggi.
  • Permikiran yang tajam.
  • Pandai berdebat.
  • Fizikal yang baik.
  • Kelemahan sistem pernafasan.
  • Suka sastera, seni & muzik serta melancong.
  • Tidak berapa suka duduk di rumah.
  • Tidak boleh duduk diam.
  • Tidak punya ramai anak.
  • Rajin dan bersemangat tinggi.
  • Agak boros

JUN

  • Berfikiran jauh & berwawasan.
  • Mudah ditawan kerana sikap baik.
  • Berperangai lemah lembut.
  • Mudah berubah sikap, perangai, idea dan mood.
  • Idea yang terlalu banyak di kepala.
  • Bersikap sensitif.
  • Mempunyai pemikiran yang aktif (sentiasa berfikir).
  • Sukar melakukan sesuatu dengan segera.
  • Bersikap suka menangguh-nangguh.
  • Bersikap terlalu memilih & mahukan yang terbaik.
  • Cepat marah & cepat sejuk.
  • Suka bercakap & berdebat.
  • Suka buat lawak & bergurau.
  • Otaknya cerdas berangan-angan.
  • Mudah berkawan & pandai berkawan.
  • Seorang yang sangat tertib.
  • Pandai mempamerkan sikap.
  • Mudah kecil hati.
  • Mudah kena selsema.
  • Suka berkemas.
  • Cepat rasa bosan.
  • Sikap terlalu memilih & cerewet.
  • Kurang mempamerkan perasaan.
  • Lambat untuk sembuh apabila terluka hati.
  • Suka pada barang yang berjenama.
  • Mudah menjadi eksekutif.
  • Kedegilan yang tidak terkawal.
  • Sesiapa yang memuji, dianggap musuh. Siapa yang menegur dianggap kawan.

JULAI

  • Sangat suka didamping.
  • Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
  • Agak pendiam kecuali dirangsang.
  • Ada harga dan maruah diri.
  • Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.
  • Mudah dipujuk dan bercakap lurus.
  • Sangat menjaga hati orang lain.
  • Sangat peramah.
  • Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
  • Berjiwa sentimental.
  • Jarang berdendam.
  • Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.
  • Tidak suka benda remeh-temeh.
  • Membimbing cara fizikal dan mental.
  • Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.
  • Layanan yang serupa terhadap semua orang.
  • Tinggi daya simpati.
  • Pemerhatian yang tajam.
  • Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.
  • Mudah dan rajin belajar.
  • Suka muhasabah diri.
  • Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.
  • Suka mendiamkan diri.
  • Suka duduk di rumah.
  • Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan.
  • Tidak agresif kecuali terpaksa.
  • Lemah dari segi kesihatan perut.
  • Mudah gemuk kalau tak kawal diet.
  • Minta disayangi.
  • Mudah terluka hati tapi lambat pulih.
  • Terlalu mengambil berat.
  • Rajin dalam membuat kerja

OGOS

  • Suka berlawak.
  • Mudah tertawan padanya.
  • Sopan santun dan mengambil berat terhadap orang lain.
  • Berani dan tidak tahu takut.
  • Orangnya agak tegas & bersikap kepimpinan.
  • Pandai memujuk orang lain.
  • Terlalu pemurah & bersikap ego.
  • Nilai harga diri yang sangat tinggi.
  • Dahagakan pujian.
  • Semangat juang yang luar biasa.
  • Cepat marah & mudah mengamuk.
  • Mudah marah apabila cakapnya dilawan.
  • Sangat cemburu.
  • Daya pemerhatian yang tajam & teliti.
  • Cepat berfikir.
  • Fikiran yang berdikari.
  • Suka memimpin & dipimpin.
  • Sifat suka berangan.
  • Berbakat dalam seni lukis, hiburan & silat.
  • Sangat sensitif tapi tidak mudah merajuk.
  • Cepat sembuh apabila ditimpa penyakit.
  • Belajar untuk bertenang.
  • Sikap kelam kabut.
  • Romantik, pengasih dan penyayang.
  • Suka mencari kawan

SEPTEMBER

  • Sangat bersopan santun & bertolak ansur.
  • Sangat cermat, teliti & teratur.
  • Suka menegur kesilapan orang lain & mengkritik.
  • Pendiam tapi pandai bercakap.
  • Sikap sangat cool, sangat baik & mudah simpati.
  • Sangat perihatin & terperinci, amanah, setia & jujur.
  • Kerja yang dilakukan sangat sempurna.
  • Sangat sensitif yang tidak diketahui.
  • Seorang yang banyak berfikir.
  • Daya pentaakulan yang baik.
  • Otak bijak & mudah belajar.
  • Suka mencari maklumat.
  • Kawal diri dari terlalu mengkritik.
  • Pandai mendorong diri sendiri.
  • Mudah memahami orang lain kerana banyak menyimpan rahsia.
  • Suka sukan, hiburan & melancong.
  • Kurang menunjukkan perasaannya.
  • Terluka hatinya sangat lama disimpan.
  • Terlalu memilih pasangan.
  • Sukakan benda yang luas.
  • Bersistematik

OKTOBER

  • Suka berbual.
  • Suka orang yang sayang padanya.
  • Suka ambil jln tengah.
  • Sangat menawan & sopan santun.
  • Kecantikan luar & dalam.
  • Tidak pandai berbohong & berpura-pura.
  • Mudah rasa simpati, baik dan mementingkan kawan.
  • Sentiasa berkawan.
  • Hatinya mudah terusik tetapi merajuknya tak lama.
  • Cepat marah.
  • Macam pentingkan diri sendiri.
  • Tidak menolong orang kecuali diminta.
  • Suka melihat dari perspektifnya sendiri.
  • Tidak suka terima pandangan orang lain.
  • Emosi yang mudah terusik.
  • Suka berangan & pandai bercakap.
  • Emosi yang kelam kabut.
  • Daya firasat yang sangat kuat (terutamanya perempuan).
  • Suka melancong, bidang sastera & seni.
  • Pengasih, penyayang & lemah lembut.
  • Romantik dalam percintaan.
  • Mudah terusik hati & cemburu.
  • Ambil berat tentang orang lain.
  • Suka kegiatan luar.
  • Seorang yang adil.
  • Boros & mudah dipengaruhi persekitaran.
  • Mudah patah semangat

NOVEMBER

  • Banyak idea dalam perkara.
  • Sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya.
  • Berfikiran kehadapan.
  • Berfikiran unik dan bijak.
  • Penuh dengan idea-idea baru yang luarbiasa.
  • Pemikiran yang tajam.
  • Daya firasat yang sangat halus dan tinggi.
  • Sesuai jadi seorang doktor.
  • Cermat dan teliti.
  • Personaliti yang dinamik.
  • Sifat yang berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia.
  • Banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra.
  • Berani, pemurah setia dan banyak kesabaran.
  • Terlalu degil dan keras hati.
  • Apabila berkehendak sesuatu, akan diusahakan sehingga berjaya.
  • Tak suka marah kecuali digugat.
  • Mudah ambil berat terhadap orang lain.
  • Pandai muhasabah diri.
  • Cara berfikir yang lain dari orang lain.
  • Otak yang sangat tajam.
  • Pandai mendorong diri sendiri.
  • Tidak hargai pujian.
  • Kekuatan semangat dan daya juang yang sangat tinggi apabila berkehendak sesuatu.
  • Cuba sampai berjaya.
  • Badan yang sasa.
  • Kasih sayang dan emosi yang sangat mendalam dan romantik.
  • Tidak pasti dengan hubungan kasih sayang.
  • Suka duduk d irumah.
  • Sangat rajin dan berkemampuan tinggi.
  • Amanah, jujur, setia dan pandai berahsia.
  • Tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi.
  • Bercita-cita tinggi.
  • Perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-ubah

DISEMBER

  • Sangat setia dan pemurah.
  • Bersifat patriotik.
  • Sangat aktif dalam permainan dan pergaulan.
  • Sikap kurang sabar dan tergesa-gesa.
  • Bercita-cita tinggi.
  • Suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi.
  • Seronok bila didampingi.
  • Suka bercampur dengan orang.
  • Suka dipuji, diberi perhatian dan dibelai.
  • Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur.
  • Tidak pandai berpura-pura.
  • Cepat marah.
  • Perangai yang mudah berubah-ubah.
  • Tidak ego walaupun harga dirinya sangat tinggi.
  • Benci pada kongkongan.
  • Suka berlawak.
  • Pandai buat lawak dan berfikiran logik

..8 SIKAP WANITA YANG DISUKAI LELAKI..

Wanita Solehah Perhiasan Indah di Dunia. Inilah salah satu persediaan kita untuk menjadi wanita yang disukai oleh suami. Banyak lelaki yg terpikat pada wanita yg bersikap keibuan, lembut, mengambil berat dan penuh kasih sayang. Wajah yg keibuan mampu membuat lelaki berasa tenteram ketika sedang stress, cemas dan gelisah dan senang hati ketika mahu bermanja. Jangan tunggu sampai melahirkan baru nak tonjolkan sikap keibuan. Setiap wanita ada potensi keibuan dalam diri masing-masing.

1. Keanak-anakkan
Dalam batas yg wajar, sifat keanak-anakan seorang wanita menjadi daya tarikan di mata lelaki. Mereka berasa terhibur dengan keletah anda. Tetapi tentulah bukan sifat keanak-anakkan yang melampau dan menyakitkan hati tetapi sikap keanak-anakan yang menyenangkan. Misalnya, kemanjaan wanita yangmembangkitkan naluri kebapaan dan kelakian lelaki. Wanita ceria membuat lelaki lebih berghairah.

2. Penuh Pengertian
Sikap pengertian wanita membuat lelaki berasa dihargai dan diterima seadanya. Sikap ini tercermin dari perasaan mudah memaafkan,
memilih waktu yang tepat untuk berbincang masalah dan sebagainya. Contohnya ketika lelaki melakukan kesilapan, wanita yang berpengertian tidak terus mengeluarkan kata-kata yang kasar atau menuduh bukan2 sebaliknya cuba mengerti duduk persoalannya.

3. Menghargai
Wanita yang menghargai lelaki adalah wanita idaman lelaki. Berbeza dengan wanita yang suka diperlakukan dengan lembut, lelaki suka dihargai, dipuji dengan tulus ikhlas dan diberi kepercayaan. Penghargaan dari wanita membuat lelaki berasa bangga.

4. Menjaga Penampilan
Lelaki menyukai wanita yang pandai menjaga penampilannya agar sentiasa kelihatan cantik, bersih, kemas dan menarik. Penampilan yang baik menunjukkan wanita tersebut menghargai dirinya. Dia akan murah senyuman, pandai merawat tubuhnya, meningkatkan kualiti hidupnya dan memberi yang terbaik kepada dirinya. Dia suka dan bersyukur dengan dirinya dan secara tidak langsung memancarkan pesona yg menyebabkan elaki juga menyukainya. Apabila sudah berumahtangga, wanita tersebut terus menjaga penampilan dirinya dan kesihatan tubuh badan walau sudah beranak-pinak. Siapa yang tidak suka isteri yang masih kelihatan cantik dan ramping walau dah punya anak 3??

5. Pandai berbicara
Lelaki tertarik dengan wanita yang pandai berkomunikasi dan boleh diajak berbual. Walau topik perbualan yang disukai lelaki berbeza dengan topik kegemaran wanita, wanita tersebut dapat mengimbanginya. Dia bukan sekadar teman berbual yang pasif, tetapi dapat memberi respon dan pendapat yang baik. Dia juga tahu menjadi pendengar yang baik, serta mengalihkan topik yang agak serius kepada perbualan yang lebih menarik. Lelaki juga suka dengan wanita yang suka bergurau dan pandai berjenaka serta boleh menerima jenaka lelaki dengan baik dan berfikiran terbuka.

6. Pandai Bergaul dan Menyesuaikan Diri
Wanita yang pandai bergaul dan menyesuaikan diri mempunyai nilai lebih di mata lelaki. Wanita tersebut tahu menghadapi orang yang lebih tua dan cara berhadapan dengan orang yang lebih muda. Apabila berhadapan dengan suasana yang baru, wanita tersebut tidak gentar malah cepat menyesuaikan diri. Dia mudah di ajak ke mana saja dan tidak kekok samada di bandar atau di kampung.

7. Menghormati Diri Sendiri
Lelaki suka dengan wanita yang menghormati dirinya sendiri sebagai seorang wanita, bersikap sopan dan mempunyai etika. Wanita yang menghormati dirinya sendiri mempunyai keyakinan dan tahu apa yg baik dan buruk diperlakukan oleh seorang lelaki terhadap dirinya. Jadi dia tahu apa yg dia inginkan dan mahu elakkan serta menjaga maruah dirinya. Dia tidak akan merendah-rendahkan dirinya dan tidak akan membiarkan lelaki memperlakukan dirinya sesuka hati.

8. Simpati dan prihatin
Lelaki suka wanita yang murah hati, mengambil berat, simpati pada nasib yg susah, sayangkan kanak-kanak dan tidak memilih bulu. Kebaikan yang wajar dan spontan mencerminkan hati yang mulia. Ada kecantikan dalaman pada dirinya yang memancar keluar dengan indah & mempesona…

Inilah sifat seorang wanita yang sempurna…